Friday, May 25, 2012


Doaku Untukmu

Perjalanan masa yang mengiringi hidupmu
Diharapkan penuh ceritera indah
Walau aku tiada di sisimu
Doaku bagai nafas yang sentiasa kau hela
Sentiasa ada...selalu ada untukmu...
Seandainya kau jatuh tika bertatih
Kerikil tajam melukaimu
Badai selalu memcemburuimu...
Tabahkan hatimu ...
Yakin dan percayalah...
Masa akan menemanimu....
Selalu ada..sentiasa ada untukmu
merawat dan mematangkan jiwamu...
walau di mana aku berada....
ingatanku adalah doaku untukmu
semoga kau selalu bahagia...tetap bahagia

Monday, April 16, 2012

Kisah Cerita Semalam...






April telah dua minggu berlalu, pokok mangga di luar jendela telah berpucuk muda. Kemerahan panjang-panjang daun mudanya yang kelihatan segar. Pokok mangga jiran juga ada yang sudah mulai berbunga. Maknanya, sebulan dua (kalau fakta  ini silap, harap dimaafkan) dari sekarang pesta musim mangga akan diraikan. Musim hujan masih belum berhenti sepenuhnya. 
Pagi panas, petang atau malam mesti hujan.  Ttidak kisahlah. Hujan mendinginkan perasaan. Aku suka hujan.

Kadangkala terasa ingin berlari dan menari dalam lebatnya hujan yang turun. Tapi itu adalah sangat mustahil. Takut jiran-jiran jugak akan ada yang ikut menari bersama. Tidak sanggup rasanya dijeling penuh cemburu oleh makcik-makcik yang sangat berbaik hati padaku selama ini. 



Hujan yang dingin selalu membuai perasaan sentimentalku. Titisan hujan bagaikan juraian air mata yang suci. Adakah kisah hujan berkaitan dengan kisah putus cintaku? Tidak. Tidak kena mengenapun. Kisah cinta yang indah itu jugak tidak berlaku pada masa hujan ribut. Malah kisah kami bermula di tengahari yang terik. Hubungan itu juga terlerai ditengahari yang hangat membakar perasaan. Jadi apa kaitan pokok mangga, musim hujan dan kisah cinta yang tidak kesampaian? Hehehe...entahlah....anggap saja aku tiada intro yang bagus heee.

Kawan-kawan baikku sering mengejek aku masih tidak berani keluar daripada obsesi cinta luka yang hampa hanya kerana aku masih belum ada pengganti cinta hati yang baru setelah sekian lama. Bukan tiada yang sudi (Gluuppgg????) Cuma hati tidak mahu tersasar memilih cinta yang fana semata-mata untuk mengisi kekosongan hati. 
Nanti sia-sia berdosa kerana tidak ikhlas mencintai. Bukan salah mereka pun. Mereka memang ikhlas mengguluk-guluk. Eehh...maksud aku kawan-kawan aku tu lah...

Kadangkala aku terfikir juga, mungkin ada benarnya kenyataan mereka itu. Masa silih berganti tapi aku sibuk dengan urusan hidup yang kadangkala sengaja dibuat-buat. Namun tidak sibuk memikirkan soal mencari cinta yang baru. Bukannya tidak boleh melupakan. Tetapi soal hati bukan seperti membeli roti. Boleh pilih-pilih sesuka hati, roti namfong kah, gardenia kah, roti paun kah dan senama dengan roti-roti semua lah. 

letak pic meow, kureng sikit dosa hee


Sukar menemui yang serasi dihati membuatkan aku meremehkan hal ini. Apa lagi keluarga juga tidak mendesak. Tapi lately ni, semacam ada hint-hint dari kakak-kakak aku....sengih jak lah..heee




Dan inilah secebis kisah dan tauladan yang mahu dikongsikan. Pilih dan conggak lah sendiri jika ada yang boleh dijadikan pelajaran terutama buat adik-adik ( tak mungkin anak-anak..ok???). Mungkin ini juga sebagai ujian pada diri sendiri untuk melapangkan hati menerima cinta yang baru??? Banyaknya jugak persoalan?? Bila lah nak mula ni kan?...hehehe...    

Tidak  sesekali menyesali apa yang telah terjadi. Kerana sejak dari awal ketika hati ini memutuskan menyambut salam cinta yang datang itu, aku hanya berserah sepenuhnya kepada ketentuan Illahi untuk menentukan kisah hati ini. Aku tidak tahu akan sejauh mana kisah hati ini akan pergi. Bahagia atau sebaliknya, aku hanya berserah. Aku kira aku hanya perlu melakukan apa yang seharusnya orang sedang bercinta itu lakukan dalam batasan yang semampu aku. Kerana aku percaya, soal jodoh adalah hak mutlak Allah swt yang menentukan. Aku sedar dalam warasku, jika dia tercipta untukku di dunia ini maka bersatulah kami. Namun, aku masih perlu mempertimbangkan pelbagai kemungkinan lain juga. 


 Dalam sedarku aku akui, sebenarnya ada beberapa hal yang boleh menguji keikhlasan hubungan ini nanti. Tapi kerana hati sedang berbunga-bunga, aku cuba meyakinkan diri bahawa jika aku ikhlas dan jujur insya Allah akan dipermudahkan Allah akan niatku ini. Dan seperti bayangan yang terlintas dibenakku, aku diuji lagi apabila keindahan pelangi cinta itu hilang tiba-tiba sirna dalam kemeriahan bulan syawal yang mulia. Apa yang berlaku? Terpulang kepada imaginasi anda sendiri...heee

biar sedih tetap nak cantik jugak




Apa yangku rasa apabila tiba-tiba segala keindahan dan kegembiraan itu hilang dari semangat hidupku? Yang pasti bukan rasa oren.... Hati rasa kekosongan yang teramat. Fikiran rasa macam bengong pun iya jugak. Air mata jadi kawan karib yang setia membersihkan taik mata, kadangkala mengalir tanpa diminta walau tidak bersebab. Ketika mandi pun boleh menangis....mungkin terlalu lama mencuci muka agaknya. Mata pedih lah tu maknanya...heeiiss korang ni...








Tetapi mungkin kerana sejak dari awal secara spiritualnya aku telah cukup bersedia dengan pelbagai kemungkinannya.( Kononnya cukup bersedia???  Heermmm...rasa kan...) Maka peristiwa berdarah ini mampu dilalui dengan keikhlasan hati yang benar-benar teruji. Aku menganggap peristiwa ini sebagai pengalaman hidup yang banyak sisi baiknya juga untuk diriku. Pengetahuan dan pengalaman bergerak seiring mematangkan nilai kehidupan itu sendiri, kan? Kisah ini hanyalah kisah yang biasa-biasa saja dan semua orang jugak pernah mengalaminya. Namun yang membezakannya adalah bagaimana kisah ini memberi impak spiritual kepada nilai kehidupan kita itu sendiri. 


Ianya berbeza-beza kepada setiap manusia. Aku menterjemahkan pengalaman ini dalam bentuk yang baik-baik sahaja. Kuhurai satu persatu, ku susun-susun kemudian ku aturkan semula. Ku lihat dengan mata hati dan ku nilai dengan kewarasan akal bersandar pada kasih Illahi. Walau pedih walau sedih, hanya suara hatiku meyakinkan jiwaku penuh tekad tanpa berpaling keliling akan kasih sayang Allah swt pada hambaNya. Bukankah ujian Allah itu tanda perhatian pada setiap hambaNya? Alhamdulillah, aku sendiri kadang-kadang tidak percaya akan kekuatan hati yang aku miliki. Mungkin memang benarlah, kadangkala kita tidak sedar akan kemampuan diri sendiri sehinggalah kita diuji dan dicabar oleh keadaan itu sendiri. (jangan takut mencuba....nanti kau boleh menikmati pelbagai perasa bukan saja rasa oren...)




 Satu hal yang paling nyata padaku, adalah pengertian REDHA itu sendiri. Iya..kita selalu menuturkan perkataan itu. Samada untuk menyedapkan hati sendiri atau sekadar kata-kata di bibir sahaja, tapi tidak seikhlas hati. Mulut berkata redha tapi hati tidak mahu melepaskannya, akal juga kadangkala jadi keliru untuk memahami isyarat yang diberi. Sehinggakan hidup tetap sahaja diselimuti kesedihan. Senyuman dibibir walau semanis gula tidak mampu menyembunyikan mendung diwajah. Sinaran mata tidak seghairah derai tawa yang sengaja diriangkan. Itulah gambaran yang disuarakan ketika luahan demi luahan diperdengarkan. Akhirnya aku akur, walau sedih walau pedih ( berapa kali aku mengulang-ulang ayat ni?)...aku harus memilih suatu jalan yang pasti.



Setelah doa dipanjatkan, setelah segala petanda diutuskan, setelah segala ujian dilalui...segalanya seakan tidak menyebelahiku. Aku akur....Akur pilihan hati  yang tercipta bukan untukku. Aku memilih untuk mempercayai bahawa suratan takdir itu tersirat rahsia yang lebih indah buatku disuatu masa nanti. Aku tidak mahu mempertaruhkan akidahku untuk mempersoalkan mengapa segala permintaanku untuk bahagia seakan tidak direstui Nya.  



Aku sematkan pejap disudut hatiku yang paling dalam, Allah lebih mengetahui sesuatu yang aku tidak tahu. Dan kerana kasihNya padaku, maka lebih baik bahagia yang dusta itu ditamatkan sahaja ketikan aku masih mampu mengawal perasaanku. Dan ketika hati yang sedang walang ini melewati hari-hari yang kelabu, hanya padaNya segala ketabahan dan kekuatan dipinta sepenuhnya. Dikala kerinduan kenangan lalu mengusik perasaan, aku memujuk hati ini agar melupakannya dengan ikhlas. Cuba memaafkan. Jauhi sekali mendendami. Tidak sekali mahu menyalahkan sesiapa. Percaya segala yang berlaku ada hikmah dan kebaikkan buatku . Aku mahu benar-benar redha dengan sebulat hatiku tanpa membenarkan bisikan-bisikan dajal mempersoalkan rasa keredhaan itu.


Benarlah janjiNYa, apabila hati kita redha  ujian segalanya menjadi mudah. Tiada lagi bebanan memberat membungkam disukma. Tiada lagi keresahan merantai membelenggu rasa. Keredhaan menghidupkan semangat hidup yang cemerlang. Segala yang dipandang mata dirasai oleh hati yang lapang seluas lautan. Bersyukur sangat, ujian dilalui tanpa banyak calar balar yang meninggalkan parut. Bukan kerana dia itu tidak penting, perginya memang memberikan kesedihan tetapi tidak mengecewakan (apakah metafora ini???  Tafsirlah sesuka hatimu hehehe....)



Jiwa yang lara kini bebas. Tiada apa yang mampu mengusik perasaan ini tentang kisah semalam yang telah berlalu. Mendengarkan lagu-lagu cinta kita dulu itu bukanlah apa-apa sangat pun. Memang kenangan itu indah, tapi cukuplah ianya sekadar secebis daripada kisah yang menambah rencah hidup . Hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan. Terlalu banyak hati yang selayaknya untuk dibahagiakan .


 Masih mampu tersenyum semanis karemel.  Jalan ini lebih berwarna warni indah bagai di alam buana (tiada mengena dengan kampong Lang Buana). Musim bunganya berkembangan sepanjang tahun. Senyuman dan tawa mesra bertali arus bagaikan pesta layaknya. Langit lazuardi sentiasa membiru indah di atas sana saujana mata memandang. Hembusan bayu melagukan  nyanyian cinta yang mengasyikkan sukma sehingga terasa diri mampu menari diawangan bagaikan sang pari-pari nan jelita. Semangat hidup semakin memercikkan biasannya seindah dan sehangat sang mentari. Semoga cinta itu hadir lagi bersama restu Illahi...dihati ini... 



 ( pokok mangga? Kita tunggu sampai bunga bertukar buah hihihi...   Lagu  Bila cinta  itu sengaja jak diletakkan sebagai intro...besalah kan...mcm trick di tv tu....Assalammualaikum ..)


Oh ya...mungkin perkisahan di atas agak berbelit-belit menyukarkan akal yang waras memahami penyampaiannya, maka saya dah mengkopikan catitan orang lain yang lebih teratur untuk memudahkan anda memahami pengertian REDHA itu sendiri....( sorry lah kepada tuan punya blog sebab tidak ingat namanya heee...salahkan line selekom yang menyebabkan saya tidak sempat menyalin alamat blog hamba Allah yang baik hati itu and hensem (hopefully lah  heee) ...baa...sila baca yeerr )

Pengertian Redha.

 1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada 
     Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan 
  apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan 
  ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
·       Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang 
        dibebankan kepada manusia.
·       Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada . 

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".( Riwayat Muslim ).





Wednesday, April 4, 2012

Senyumlah.....

                   
                       " kalau berziarah ke pulau Bumbum, jangan lupa membeli putu
                                      .........kalau kita selalu tersenyum, wajah manis hati kan bahagia selalu... "

·  Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

·  Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

·  Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi. 

·  Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. 

·  Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.  



·  Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

·  Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.


·  Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .   

·  Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .


·  Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

·  Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

·  Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

·  Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.  

·  Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

·  Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.   

·  Pujangga menyebut :" SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".









Jarak Itu Menjaga Aku dan Dia


Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa. Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.


"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata. Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.

Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.
Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia
(Karya asal oleh : Mohd Nazarul Elmy , http://antisipasielmyra.blogspot.com. )