Sunday, October 31, 2010

Kemaafan Dendam Terindah...


Meminta maaf dan memaafkan suatu amalan yang kita sedia maklum dalam kehidupan kita, kita digalakkan melakukannya kerana banyak manfaatnya dalam perhubungan manusia itu sendiri. Namun, berapa kerap anda mengungkapkannya? Terutama kepada orang-orang yang anda sayangi? Apatah lagi kepada orang-orang yang tidak mempunyai pertalian atau kepentingan dengan anda.... Kadangkala kerana ego, degil dan sikap tinggi diri kita sukar melafazkan kata-kata maaf yang akhirnya hanya meretakkan dan memutuskan perhubungan yang telah terjalin, jika ini terjadi tidakkah kita rasa ralat dek kerana terlalu mementingkan perasaan sendiri kita menolak tepi segala makna perhubungan yang ada? Belajarlah meminta maaf dan menjadi pemaaf...


Banyak manfaatnya kita perolehi daripada meminta maaf dan memberi kemaafan, selain memperolehi pahala yang besar, kita juga dapat mengukuhkan hubungan ukhuwah sesama manusia, membina keharmonian dalam perhubungan seharian dan paling penting memperolehi ketenangan jiwa hakiki...percayalah, biar macam mana sakitpun hati kita pada seseorang itu, tetapi disaat kita mengatakan maaf kepadanya...segala tekanan yang menyeksa jiwa selama ini akan terlerai bagai ditiup angin yang berlalu..

Seorang pernah mengatakan kepada saya, jika kita marah dengan seseorang jangan terlalu benci, maafkan sahaja dia kerana perbuatan itu hanya membuatkan jiwa kita tidak tenteram, tidak berbaloi menyiksa jiwa sendiri dek kerana orang yang tidak pandai meminta maaf akan kesalahannya,. Saya setuju dengan kata-katanya dan sempena mahu mengambil keberkatan di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya menunjukkan sikap pemaaf dengan seikhlas hati saya.

Bersama ini, saya hendak berkongsi dengan rakan-rakan tips bermaafan semoga kita menjadi insan-insan yang lebih baik daripada sebelumnya ;)

• Meminta maaf boleh diluahkan dengan pelbagai cara, tidak semestinya hanya dengan kata-kata. Misalnya memberikan bunga atau hadiah juga suatu bentuk tindakan atau pernyataan maaf.

• Sekiranya lidah keluh untuk berkata-kata atau tidak tahu mengaturkan kata, gunalah pendekatan kecanggihan teknologi yang ada seperti emel, sms atau ketika online di facebook mahupun dengan menghantar mesej ke dalam ‘inbox’ facebook.

• Perkataan maaf tidak akan bermakna jika dilafazkan ketika si dia sedang marah atau bengang. Oleh itu, ambil lah masa seketika. Beri ruang untuk dia bertenang sebelum kamu membuka mulut menerangkan keadaan sebenar.

• Jangan menoktahkan ayat selepas ucapan maaf. Teruskan dengan ayat lengkap untuk mengukuhkan lagi sebab dan kemestian maaf itu diterima. Ini bagi mempengaruhi si dia untuk meyakini kata-kata kamu itu.

• Maaf tidak semestinya diucapkan ketika kesalahan berlaku sahaja, jika masing-masing berada dalam keadaan keliru mencari salah siapa, ambillah inisiatif untuk kamu yang memulakan ucapan maaf itu. Percayalah, selepas itu mesti dia juga akan turut lembut hati dan mencari salahnya juga.

• Jika kamu rasa tiada kepentingan untuk memohon maaf, fikirkan sejenak orang disekeliling kamu yang akan terkena impaknya jika hubungan kalian menghadapi ketegangan. Misalnya, anak-anak, ibu bapa anda, saudara-mara ataupun rakan-rakan yang menyayangi kamu.

• Maaf itu akan lebih bermakna jika disusuli dengan sentuhan tangan yang berjabat  atau senyuman manis yang terukir. Jangan pula meminta maaf sekadar melepaskan batuk di tangga atau dengan sikap acuh tak acuh. Itu tidak ikhlas namanya..

• Bagi kamu yang dimohon maaf pulak, janganlah berlagak sombong atau bersikap keras hati. Terimalah permohonan maaf itu dengan berlapang dada dengan harapan kesalahan itu tidak akan diulangi lagi. Percayalah, betapa leganya sebuah perasaan yang dapat memberikan kemaafan kepada seseorang biarpun orang itu telah melukakan perasaan anda.

• Jika kamu mampu atau lebih baik hati, selepas dia meminta maaf, tidak salah jika kamu juga mengucapkan perkara yang sama. Ini akan lebih meruntunkan hatinya dan menyegarkan kembali hubungan kalian.

• Paling penting, setelah bermaaf-maafan jangan diulangi kesilapan tersebut dan jangan mengambil kesempatan diatas kemaafan yang diberikan. Hargailah perhubungan yang terjalin antara kita...

Bukan mudah seseorang insan biasa mengakui kesilapannya dan memohon kemaafan. Justeru itu, tidak hairanlah Allah swt meletakkan ganjaran yang amat besar bagi hamba Nya yang berani mengaku salah dan sedia bermaaf-maafan.
Sabda Rasullah saw; “ Adakah engkau semua tahu siapakah orang yang paling muflis?” Para sahabat menjawab; “ orang tidak berwang dan tidak berharta lagi..” , Rasulullah saw menambah; “ orang yang muflis itu ialah orang yang daripada umatku yang datang pada hari kiamat nanti dengan ( bukan sahaja) membawa amalan yang banyak daripada ibadah solatnya, puasa dan zakatnya akan tetapi banyak juga amalan jahatnya. Waktu di dunia dia pernah memaki si polan, pernah menuduh si polan jahat, memakan harta si polan, mengalirkan darah si polan, memukul si polan, sedangkan sepanjang hayatnya dia tidak pernah meminta maaf kepada orang yang telah dianayai, disakiti atau dizaliminya itu..”

Sempena kedatangan Aidil Adha  ini...marilah kita merendahkan hati kita memohon kemaafan sesama kita diatas segala kesilapan lalu biarpun apa juga sebabnya, facebook membuka kembali lembaran kenangan silam yang indah dan manis untuk dikenang...mengapa kita tidak mengambil kesempatan ini untuk membina dan menjernihkan kembali perhubungan insania untuk masa-masa akan datang.

Aku juga mahu berusaha kearah itu...walau dengan caraku sendiri... Aku ingin memohon maaf diatas segala kesilapan dan kekuranganku sepanjang kita saling mengenali...sebagai manusia biasa...aku punya kekurangan dan kelemahan yang kadangkala aku tidak sedari yang mungkin pernah mencalar perasaan sesiapapun juga.

No comments:

Post a Comment